Kalau anda sampai ke page ni, mesti ada orang dah cerita pasal buku yang saya tengah tulis. Terima kasih sebab sudi luangkan masa.
Untuk yang belum kenal saya, nama saya Firdaus Johari (ramai panggil saya Firjo). Saya corporate trainer, dah beberapa tahun mengajar tentang kreativiti, inovasi dan keusahawanan kepada syarikat-syarikat korporat dan program-program keusahawanan kerajaan. Buku ni datang dari pengalaman saya sendiri jatuh bangun berbisnes, dan apa yang saya belajar sepanjang jalan tu.
Sebelum anda mula baca, saya nak jujur dengan anda.
Buku ni belum siap sepenuhnya. Apa yang anda akan baca di sini adalah 3 bab pertama, versi draf. Bukan versi cantik yang dah kena edit seribu kali. Ini versi jujur, versi yang saya sendiri masih tengah perhalusi.
Kenapa saya bagi baca awal macam ni?
Sebab saya tak nak tulis buku dalam bilik sorang-sorang, lepas tu harap semua orang suka. Saya nak tahu betul-betul, adakah apa yang saya kongsikan ni masuk akal untuk anda. Adakah ia membantu. Atau adakah ia sekadar bunyi bagus je tapi tak sampai.
Jadi ini permintaan saya. Baca 3 bab ni dengan santai, macam anda baca buku biasa. Lepas habis baca, saya ada borang feedback ringkas, tak lama pun, untuk anda kongsikan apa yang berkesan dan apa yang tak.
Tiada tekanan. Tiada "tawaran terhad" atau apa-apa gimik macam tu. Saya cuma nak dengar pendapat jujur anda punya.
Boleh mulakan bila-bila anda rasa dah bersedia. Chapter pertama ada di sebelah →
Idea Impian
Bab 1
Idea Impian & DREAM Framework
Anda Hanya Memerlukan Satu Idea…
Anda hanya memerlukan satu idea untuk mengubah hidup anda! Saya pasti anda pernah dengar tentang produk Apple dan Steve Jobs, bukan? Tapi bagaimana pula dengan Steve Wozniak dan "kotak birunya"? Kedua-dua Steve ini adalah pengasas Apple Computer Company yang kita kenal hari ini. Steve Wozniak mencipta "kotak biru" yang membolehkan orang membuat panggilan jarak jauh secara percuma, dan Steve Jobs menjualnya. Tanpa idea ini, Apple mungkin tidak akan wujud, seperti yang diceritakan Jobs kepada penulis buku biografinya. Dengan satu idea sahaja, ia mampu mengubah hidup anda.
Elon Musk, seorang lagi usahawan bervisi yang terkenal dengan kereta elektrik dan roketnya (Tesla & SpaceX), beliau mendapat kejayaan pertamanya melalui sistem pembayaran internet yang akhirnya dikenali sebagai PayPal. Dia kemudian menggunakan dana dari kejayaan itu untuk mengembangkan Tesla dan SpaceX.
Anda mungkin berkata ini jarang berlaku, bukan? Izinkan saya memperkenalkan Melanie Perkins. Saya rasa lebih ramai orang yang tahu (dan menggunakan) produknya berbanding namanya. Dia adalah salah seorang pengasas Canva, ia adalah sebuah website yang membantu penggunanya melakukan tugas design seperti poster, video dan sebagainya secara atas talian. Bagaimana dia bermula? Sebelum Canva, wujudnya Fusion Book, alat reka bentuk drag-and-drop untuk sekolah menghasilkan majalah sekolah tahunan mereka. Setakat tahun 2025, Canva mempunyai 240 juta pengguna aktif bulanan dan dianggarkan bernilai USD 42 billion. Semuanya bermula daripada satu idea.
Bagaimana pula dengan saya? Kisah saya bermula sebagai seorang eksekutif pemasaran di salah sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka di Malaysia. Semasa di sana saya bertanggungjawab membantu merangka dan melaksanakan strategi menjual produk syarikat tersebut ke golongan belia dan pelajar universiti. Salah satu idea yang saya cadangkan adalah sebuah kad loyalti belia di dalam bentuk aplikasi telefon pintar di mana para pelajar akan mendapat poin dan ganjaran untuk membuat pembelian produk-produk kami atau mana-mana kedai makan, kedai buku & kedai alat tulis di dalam rangkaian rakan strategik kami. Malangnya, idea tersebut ditolak. Walaupun begitu, saya sangat suka idea tersebut sehingga beberapa bulan kemudian saya meletakkan jawatan untuk menjadikan idea tersebut realiti. Apa jadi dengan idea tersebut? Saya kongsikan di bab-bab yang seterusnya.
Apa-apa pun, jika saya tidak berani untuk memulakan aplikasi kesetiaan belia tersebut, saya mungkin tidak akan memilih untuk menjadi seorang pejuang inovasi atau memulakan penulisan buku ini. Kesimpulannya, kita mampu mengubah segala impian kita menjadikan kenyataan. Kita hanya perlu kesabaran, minat, dan keberanian untuk mengambil langkah pertama untuk mencari idea pertama yang mendorong anda ke arah impian tersebut menjadi kenyataan...
Untuk Siapa Buku Ini
Kenapa dan untuk siapa saya tulis buku ini? Matlamat hidup saya adalah untuk membantu rakyat Malaysia berinovasi.
Kenapa?
Sebab saya perasan di Malaysia ini ramai orang yang pandai mengadu tentang masalah. Tapi tidak cukup ramai orang yang berusaha memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Apa yang saya mahu lakukan adalah mudah sahaja. Saya sendiri mahu berhenti mengadu dan cuba untuk menyumbang kepada penyelesaian.
Tapi saya tahu yang saya seorang sahaja tidak mampu untuk mengubah Malaysia.
Maka, saya akan berusaha membantu rakyat Malaysia lain yang mahu berinovasi seperti anda. Saya akan ajar anda semua bagaimana untuk berinovasi.
Semoga dengan apa yang saya kongsikan, anda dapat mengamalkan apa yang saya ajar. Dan anda akan menjadi pencetus kepada perubahan.
Itulah pemikiran saya sekarang.
Dan itulah sebabnya buku ini wujud.
Tiga Golongan Yang Saya Mahu Bantu
Saya percaya bahawa untuk membantu Malaysia berinovasi secara menyeluruh, saya perlu memfokuskan usaha kepada tiga golongan utama:
Golongan Pertama: Korporat
Ini termasuk kakitangan di syarikat-syarikat besar, syarikat multinasional (MNC), dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Kerana jika golongan korporat berjaya berinovasi produk & perkhidmatan mereka maka kesannya dapat dirasai semua rakyat Malaysia. Dan itulah kenapa saya memilih kerjaya sebagai "corporate trainer" atau pendidik korporat.
Golongan Kedua: Usahawan
Membantu syarikat korporat memang besar impaknya namun begitu saya tetap mahu membantu golongan usahawan kerana walaupun kebanyakannya mereka bersaiz kecil, mereka adalah ramai. Secara keseluruhannya, mereka menyumbang dengan sangat besar kepada ekonomi Malaysia.
Golongan Ketiga: Pendidik
Bila saya kata pendidik, saya maksudkan dalam erti kata yang luas. Tidak kira sama ada mereka guru tadika, guru sekolah menengah, pensyarah universiti, atau trainer seperti saya. Saya mahu membantu mereka berinovasi dan memperbaiki cara mereka melaksanakan tugas-tugas mereka.
Harapan saya, apabila saya mengkaji tentang inovasi dan berkongsi ilmu dengan ketiga-tiga golongan ini, mereka akan mendidik dengan lebih baik, membantu melahirkan lebih ramai anak-anak pintar yang kreatif & inovatif dan akhirnya memberi kesan positif kepada seluruh Malaysia dalam pelbagai bidang.
Untuk Siapa Buku Ini Ditulis?
Buku ini boleh dibaca oleh semua golongan yang saya sebut tadi tetapi buku ini khusus ditulis untuk golongan usahawan. Saya menulis buku ini dengan niat ia akan dibaca 3 jenis usahawan:
Pertama: Usahawan yang baru mahu bermula. Anda mungkin ada idea perniagaan tetapi tidak tahu dari mana hendak bermula. Buku ini akan membimbing anda.
Kedua: Usahawan yang sudah berpengalaman tetapi keliru dengan langkah seterusnya. Anda sudah jalankan perniagaan bertahun-tahun. Tetapi anda tidak pasti apakah langkah seterusnya untuk berkembang atau bertransformasi. Buku ini akan membantu anda mengenal pasti fokus yang betul.
Ketiga: Usahawan sosial yang mempunyai idea untuk berinovasi atau mengubah masyarakat. Anda mungkin fikir, "Saya tidak perlu jadi usahawan untuk melaksanakan idea saya." Berhati-hatilah. Saya percaya bahawa apa-apa sahaja yang kita mahu ubah, pasti ada aspek kewangan dan ekonomi kerana semua idea memerlukan wang untuk melaksanakannya. Bacalah buku ini. Anda akan faham kenapa.
Bagaimana Buku Ini Boleh Membantu Anda
Seperti yang saya katakan sebelum ini, anda hanya memerlukan satu idea untuk mengubah hidup anda. Jadi, bagaimana anda boleh menghasilkan idea pertama yang boleh mengubah hidup anda? Bacalah buku ini dari awal sampailah ke muka surat terakhir kerana buku ini saya tulis untuk membantu anda mencari idea tersebut dan menjadikannya sebuah realiti.
Tapi sebelum itu, saya perlu kongsikan sesuatu yang penting, sesuatu yang kebanyakan buku bisnes lain terlepas pandang. Ia tentang susunan yang betul untuk mencapai kejayaan yang berkekalan tidak kira bidang.
Being. Doing. Having.
Ramai orang fokus kepada hasil dan tindakan yang diperlukan untuk mencapai hasil tersebut. Ini tidak salah, tetapi tahap kejayaan yang dicapai selalunya tidak konsisten dan tidak berkekalan. Kenapa?
Kerana kejayaan yang konsisten dan berkekalan bergantung kepada sesuatu yang lebih dalam. Bayangkan sebuah 'iceberg', ketulan ais yang terapung di sebuah lautan yang sejuk. Bahagian yang kita nampak di atas permukaan air hanyalah sebahagian kecil, itulah Hasil dan Tindakan kita. Ia adalah perkara yang kita dan orang lain boleh nampak. Tapi bahagian yang jauh lebih besar tersembunyi di bawah permukaan air, itulah Taktik & Strategi, dan lebih dalam lagi, Mindset, Kepercayaan, Sikap & Nilai kita.
Rajah "Iceberg Inovasi" — akan ada didalam versi cetakan fizikal.
Hasil kita ditentukan oleh tindakan kita. Tindakan kita pula ditentukan oleh taktik dan strategi yang kita rancang. Dan taktik serta strategi kita ditentukan oleh mindset, kepercayaan, sikap dan nilai kita yang tersembunyi jauh di bawah permukaan.
Pernah tak anda alami situasi ini, anda ada idea yang hebat, anda dah buat research, dah dapat sokongan rakan sekerja, dah sampaikan dengan penuh semangat dan yakin, tapi bos anda tetap menolak? Mungkin bukan kerana idea anda tidak bagus tetapi mungkin sebab idea anda tidak selari dengan mindset, sikap, kepercayaan atau nilai bos anda yang tersembunyi di bawah permukaan.
Lagi satu, boleh saya tanya soalan mudah, adakah anda mahu kaya?
Kebanyakan orang akan jawab ya. Tapi kalau saya cadangkan cara untuk kaya melalui penipuan atau merompak bank, pasti anda akan tolak. Kenapa? Kerana nilai dan prinsip anda lebih penting dari sekadar keinginan untuk kaya. Tetapi ada pula individu sanggup melakukan tindakan tidak beretika ini. Ini bermaksud, siapa diri kita menentukan tindakan kita.
Inilah hakikatnya, di dalam usaha kami mengejar kejayaan, kebanyakan kita bergerak dalam susunan yang terbalik: kita terlalu fokus mengubah apa yang kita ada (Having), maka kita fikirkan cara untuk mendapatkannya (Doing), dan baru kemudian kita ubah mindset kami (Being).
Tapi kita dah silap dari awal.
Sepatutnya kita mulakan dengan Being, siapa yang kita mahu jadi kerana apabila kita tahu siapa yang kita mahu jadi, kita akan temui motivasi dalaman yang jauh lebih berkuasa dan berkekalan berbanding motivasi luaran seperti wang.
Apabila kita dah tahu siapa kita (Being), idea tentang bagaimana untuk mencapainya (Doing) akan datang dengan lebih mudah. Dan kerana kita dah temui motivasi yang lebih dalam, kita akan bertahan lebih lama dalam melaksanakan idea tersebut sehingga kita capai hasil yang kita impikan (Having).
Maka, buku ini ditulis di atas susunan berikut:
Being (Bab 2): 10 Mindset Inovasi yang akan menjadi tunjang segala tindakan anda
Doing (Bab 3-7): D.R.E.A.M Framework, cara sistematik untuk menukar idea kepada realiti
Having (Bab 8): Mengekalkan momentum dan memastikan kejayaan anda berkekalan
Jadi soalan sebenar bukan "Apa yang anda mahu capai?"
Soalan sebenar adalah "Apakah rupanya versi diri saya yang terbaik yang mampu mencapai segala impian saya?"
Rangka D.R.E.A.M
Dalam buku ini, saya nak kongsikan satu framework yang powerful yang saya panggil sebagai D.R.E.A.M Framework. Ia adalah satu sistem yang saya guna untuk membantu usahawan Malaysia berinovasi dengan cara yang sistematik dan berkesan.
Ramai yang fikir inovasi ni datang secara tiba-tiba, macam di sambar kilat. Tiba-tiba je ada idea.
Realitinya? Inovasi adalah satu proses yang perlu dibina dan dipelajari untuk konsisten menghasilkan idea bernas.
Kena ada sistem. Kena ada struktur. Ada langkah-langkah yang perlu diikuti.
Dan itulah yang diajar melalui D.R.E.A.M Framework ni.
Apa itu D.R.E.A.M Framework? D.R.E.A.M adalah singkatan kepada:
D - Desire (Keinginan)
R - Research (Kajian)
E - Experiment (Eksperimen)
A - Analyse (Analisis)
M - Modify (Ubahsuai)
Jom saya kupaskan sedikit satu per satu:
D - Desire (Keinginan)
'Desire' atau dalam bahasa melayu saya alih bahasakan sebagai keinginan. Apakah yang kita inginkan? Apakah hasil yang kita mahu dapat dari sesebuah idea? Jangan hairan yang kebanyakan usahawan memandang ringan isu ini, dan hasilnya, usahawan menyesal sebab tersalah langkah kerana kurang memperhalusi sebab sebenar mereka berbisnes. Lagipun, lagi jelas 'desire' anda, lagi mudah untuk mengenal pasti apakah strategi terbaik. Contohnya, keinginan saya adalah untuk meramaikan rakyat Malaysia yang kreatif, oleh itu, menulis buku adalah salah satu idea yang bagus untuk saya mencapai matlamat itu.
R - Research (Kajian)
Keinginan yang kuat dan jelas dalam berbisnes adalah bagus tetapi keinginan itu ada emosi dan emosi ini berbahaya. Emosi tu menggerakkan tapi dia juga boleh menyebabkan anda tersasar dari matlamat asal dan hilang fokus.
Oleh itu, kita bukan hanya nak idea yang bagus tetapi idea yang logik, maksudnya praktikal dan mampu dilaksanakan.
Bagaimana? Kita kena buat "research", atau kajian dalam bahasa melayu. Tak kisahlah nak buat market research ke, produk research ke, competitor research ke. Yang penting lagi banyak kita tahu, lagi banyak kita elakkan risiko-risiko & kesilapan-kesilapan besar yang sebelum ini kita tidak ketahui.
E - Experiment (Eksperimen)
Segala research dan kajian yang anda lakukan adalah tidak bermakna kalau anda tidak bereksperimen. Research tu bagus tapi mustahil kita akan dapat seratus peratus maklumat sempurna yang tepat dan sahih. Kalaulah kita dapat maklumat yang sempurna pun takkan kita nak tiru bulat-bulat sebab kalau kita tiru bulat-bulat situasi kita mungkin berbeza. Lagipun, kalau kita tiru pesaing kita bulat-bulat, pesaing kita akan sentiasa menang sebab dia dah jalan dulu, dia ada lebih pengalaman dan ada lebih kredibiliti di mata pelanggan.
Oleh itu, kita tetap kena eksperimen, kita tetap kena try, kita tetap kena ubah, kita mesti bersedia untuk bereksperimen. Contoh eksperimen, adalah membuat prototaip, membuat 'test run', menjual edisi terhad.
Tahukah anda buku ini juga melalui fasa eksperimentasi? Pada tahun 2023, saya telah menulis buku pertama saya berjudul "Innovation 365". Semasa saya menulis buku tersebut, niat saya hanya adalah untuk menguji kemahiran menulis saya dan bukannya hendak betul-betul menulis buku kerana saya tahu ramai yang mula menulis buku pertama dengan serius tetapi kecewa dengan hasilnya kerana ekspektasi yang terlampau tinggi. Sebaliknya, saya nak cuba-cuba supaya dapat mengenali cabaran-cabaran menulis buku. Hasilnya, saya dapat belajar banyak perkara mengenai penulisan buku terutama perkara-perkara yang perlu saya berhati-hati di dalam penulisan buku saya yang anda tengah baca ini. Dan itulah kelebihan bereksperimen sebelum melaburkan masa dan modal secara serius 100%.
Siapa kenal My Burger Lab? Burger viral yang roti ban berwarna hitam. Sekarang ni dia ada 10 cawangan serata Malaysia tetapi sebelum dia bermula saya diberitahu mereka buka di sebuah food court untuk bereksperimen dahulu sebelum membuka premis khas. Dia buka di foodcourt untuk test market dahulu, dan bila nampak ada potensi barulah dia yakin untuk buka satu kedai. Dan itulah salah satu contoh bereksperimen.
A - Analyse (Analisis)
Apa tujuan kita bereksperimen? Untuk mengumpul data. Kenapa? Supaya kita boleh bandingkan data yang terkumpul dari eksperimen dengan maklumat yang diperolehi semasa fasa "research". Adakah kedua-dua maklumat ini konsisten? Kalau tidak, kenapa? Ada kesan pada strategi bisnes kita? Kena ubah suai idea kita ke?
Oleh itu, selepas bereksperimen, janganlah biarkan sahaja data yang diperolehi, analisalah data tersebut betul-betul. Kebanyakan kita main cuba-cuba, main test test, tanpa pengetahuan, tanpa menggunakan data-data dalam bentuk statistik dan kewangan.
Sebagai usahawan, kita kena terima hakikat bahawa kita kena kuasai segala nombor-nombor dalam perniagaan kita. Kita kena ingat harga produk, harga kos, berapakah harga-harga setiap ramuan produk kita, kos sewa kilang, kos bil air dan sebagainya. Semua itu kita kena ingat supaya kita boleh membuat tindakan yang bijak dalam menjalankan perniagaan kita.
Jika "desire" adalah emosi, maka analisa adalah logik, dan kita perlu mengimbangkan kedua-duanya dalam perniagaan. Kejayaan seseorang usahawan memerlukan kedua-dua emosi dan logik untuk berjaya.
M - Modify (Ubahsuai)
Apakah tujuan kita menganalisa data semasa fasa analisis? Ia adalah untuk kita membuat perubahan yang tepat semasa fasa "Modify" atau ubahsuai dalam Bahasa Melayu.
Antara stereotaip seorang usahawan adalah mereka pantas beradaptasi tetapi isunya jika terlebih laju berubah sampai tersalah langkah. Tetapi ada juga usahawan yang terbalik, langsung tidak mahu berubah kerana takut mengambil risiko. Sebagai usahawan bijak, kita kena pandai mengimbangi antara mengambil risiko versus mengambil tindakan.
Bagaimana? Dengan menggunakan rangka DREAM. Daripada fasa "desire" (keinginan) kepada fasa "Analyze" (analisa), ia telah saya susunkan supaya anda membuat keputusan dan ubahsuai yang bijak dan membawa kepada kejayaan perniagaan anda.
Rajah Rangka D.R.E.A.M — akan ada didalam versi cetakan fizikal.
Setelah selesai fasa "modify" maka kembalilah kepada fasa "desire". Semak semula dan tanya, adakah perasaan anda terhadap idea anda masih sama? Adakah perubahan diperlukan?
Maka, proses ini akan berulang-ulang tanpa henti kerana inovasi tiada penamat, hanya anda mahu menyerah kalah atau tidak.
The Power Of Dreams
Itulah slogan sebuah jenama kereta terkenal. Rangka D.R.E.A.M telah saya cipta untuk membantu menukar proses berinovasi dari proses mencuba nasib kepada proses bersistematik dalam mencari idea yang menguntungkan.
Kelebihan rangka ini adalah ia mengimbangkan elemen emosi dan logik. Kebanyakan kaedah terlalu menitikberatkan salah satu elemen dan tidak cuba mengimbangi kedua-duanya. Kaedah ini menitikberatkan anda mengenali kemahuan dan keinginan anda tetapi pada masa sama memaksa anda untuk bereksperimen dan menganalisis data supaya membuat keputusan dengan logik.
Tapi ingat — DREAM adalah tentang Doing. Dan Doing tanpa Being yang kukuh adalah seperti berlari tanpa tahu ke mana arah tuju.
Sebelum kita boleh bermula dengan DREAM, kita perlu bina dahulu siapa diri anda sebagai seorang penginovasi dari segi mindset, kepercayaan, sikap dan nilai-nilai murni yang akan menjadi tunjang kepada segala tindakan anda.
Itulah yang akan kita bina dalam Bab 2. Jom kita mulakan.
Ringkasan Bab 1
Satu idea sahaja mampu mengubah hidup
Misi saya adalah untuk membantu rakyat Malaysia berinovasi melalui pendidikan praktikal
Buku ini untuk 3 kumpulan usahawan: Usahawan baru, usahawan berpengalaman keliru, bukan usahawan dengan idea besar
Being-Doing-Having: Mulakan dengan siapa anda (Being), kemudian apa yang anda lakukan (Doing), barulah dapat apa yang anda impikan (Having)
Hasil dan tindakan adalah di atas permukaan dan mindset, kepercayaan, sikap dan nilai-nilai adalah di bawah permukaan, dan itulah yang menentukan segalanya
Inovasi bukan datang tiba-tiba, ia adalah proses sistematik yang perlu dibina, dipelajari, dan diulang
Bab 2
Minda Inovasi
Idea Takkan Menjadi Realiti Jika…
Idea yang paling bagus pun tetap akan gagal jika anda tidak bersedia secara mental untuk menjadikannya realiti. Ini kerana pelbagai cabaran-cabaran yang akan dihadapi, contohnya, tentangan dari pelanggan, rintangan dari pesaing, pelaksanaan lemah dan pelbagai isu lain. Maka ia sangat mudah untuk menyerah kalah. Oleh itu, anda mesti membetulkan 'mindset' anda sebelum memulakan apa-apa proses berinovasi supaya ia ada lebih tinggi peluang untuk berjaya. Dan itulah apa yang saya akan kupaskan sepanjang bab 2 ini.
Kenapa Seminar-Seminar Bisnes Tidak Berkesan?
Pernahkah anda atau mana-mana kawan anda menyertai mana-mana seminar bisnes? Adakah mereka semua berjaya menunjukkan hasil positif dari menyertai seminar-seminar tersebut? Pengalaman saya, kebanyakannya tidak. Kenapa?
Sebabnya adalah kerana sesuatu yang saya panggil sebagai knowledge - result gap atau jurang ilmu - hasil. Sudah tentu, sebagai usahawan, objektif kami untuk menyertai seminar bisnes supaya ada result, ada hasil seperti peningkatan sales atau untung. Tetapi kenapa ilmu yang dipelajari dari seminar tersebut tidak dapat menjanjikan kejayaan dalam bisnes? Kerana di antara ilmu dan hasil ada beberapa langkah yang wajib dilalui dahulu.
Untuk sesuatu ilmu membawa hasil, kita perlu mengamalkannya? Betul? Kalau tak amal bagaimana nak bawa hasil? Betul? Oleh itu, sebelum ada hasil, usahawan memerlukan tindakan. Tetapi, mampukah tindakan kita membawa hasil jika kita hanya bertindak sekali dua kali? Jika kita tidak konsisten dalam tindakan kita, adakah ia mampu membawa perubahan besar dalam bisnes kita? Pengalaman saya, selalunya tidak. Kenapa?
Kerana konsistensi dalam tindakan memerlukan kita membentuk tabiat untuk bertindak. Contohnya, sebab kenapa kita tidak konsisten membuat video tiktok adalah kerana kita belum membentuk tabiat membuat video tiktok setiap hari. Tabiat mengambil masa dan disiplin untuk dibentuk. Itulah kenapa apabila kita cuba membentuk banyak sangat tabiat baru, ia tidak menjadi.
Kita sepatutnya membentuk tabiat baru, satu tabiat pada satu-satu masa sahaja. Tetapi, walaupun sudah mengambil masa yang lama, kita tetap belum berjaya membentuk tabiat-tabiat yang membawa kepada kejayaan bisnes kita? Cuba fikirkan, apakah satu perkara yang menghubungkan ilmu dan tabiat? Apakah satu langkah yang anda perlu lakukan supaya ilmu yang dipelajari akan menjadi tabiat yang akan anda sentiasa amalkan? Fikirkan dan cuba jawab sebelum teruskan membaca.
Jawapannya adalah mindset, anda perlu mengubah mindset lama anda dan bentuk mindset baru yang selari dengan tabiat yang ingin dipupuk.
Beberapa tahun lepas, hidup saya berada di satu keadaan yang pelik. Saya tidak gagal sepenuhnya tapi saya tidak berjaya sepenuhnya juga. Ada pendapatan, ada kerja, ada kehidupan yang dari luar nampak okey. Tapi dalam diam, saya tidak tahu ke mana saya sedang berjalan.
Waktu itu, cara saya berfikir tentang bisnes adalah mudah: bisnes adalah tentang duit. Kalau duit masuk, teruskan. Kalau duit tak masuk, tukar arah. Motivasi saya bergantung sepenuhnya kepada hasil dan apabila hasil lambat datang, semangat pun cepat padam.
Semasa mengerjakan umrah, dalam keadaan hati yang sunyi dari segala kesibukan dunia, saya berdoa dengan satu permintaan yang ringkas: "Ya Allah, jika ada cara saya dapat membantu umat-Mu, tunjukkanlah caranya. Dan saya akan buat."
Saya tidak minta kekayaan. Saya tidak minta kejayaan. Saya minta sesuatu yang lebih asas: arah.
Petunjuk itu tidak datang serta-merta. Tapi sesuatu dalam diri saya berubah pada hari itu. Saya sedar bahawa selama ini saya berfikir dari sudut yang salah. Soalan saya selama ini adalah "apa yang saya boleh dapat?" dan itulah yang buat saya cepat hilang semangat bila duit tak masuk.
Tapi soalan yang betul rupanya adalah: "Masalah apa yang saya boleh bantu selesaikan?"
Perubahan kecil dalam soalan itu mengubah paksi hidup saya sepenuhnya dari berpaksikan duit kepada berpaksikan perjuangan.
Dan inilah yang saya panggil Mindset #1: Kita Berinovasi Untuk Menyelesaikan Masalah.
Bila saya mula berfikir tentang masalah orang lain dahulu, sesuatu yang pelik berlaku. Semangat saya tidak lagi bergantung kepada berapa banyak duit yang masuk. Ia bergantung kepada berapa ramai orang yang berjaya saya bantu. Dan motivasi jenis ini, ia tidak mudah padam.
Mungkin anda pernah rasa benda yang sama. Anda mulakan bisnes dengan semangat membara, tapi bila bulan pertama jualan tidak mencapai sasaran, terus rasa nak berhenti. Itu tanda paksi bisnes anda masih berpaksikan duit bukan membantu pelanggan.
Soalan untuk anda
Masalah sebenar siapa yang bisnes saya cuba selesaikan? Kalau jawapan anda jelas, tahniah, anda dah ada asas yang kukuh. Kalau jawapan anda kabur, jangan risau. Itulah sebabnya bab ini wujud.
Mindset Asas Seorang Penginovasi
Mengubah idea menjadi realiti bukanlah mudah tetapi dengan 'mindset' yang betul, anda akan mengurangkan risiko tersalah langkah dan tidak terbazir masa dan wang yang banyak. Apakah 'mindset-mindset' yang sebutkan itu? Teruskan membaca.
Mindset Inovasi #1: Kita Berinovasi Untuk Menyelesaikan Masalah
Di dalam buku The Game Changer oleh A.G. Lafley, Ketua Pegawai Eksekutif (C.E.O.) P&G mendefinisikan inovasi sebagai: "The conversion of a new idea into revenue & profits" — Penukaran idea baharu kepada pendapatan & keuntungan.
Istilah inovasi dan kreativiti biasanya digunakan silih-berganti tetapi seperti saya katakan tadi, pada pandangan saya, kreativiti adalah salah-satu komponen kejayaan inovasi.
Dalam Program Penguasaan Inovasi yang saya kendalikan, saya menyatakan dan berkongsi bukti-bukti bahawa inovasi memerlukan 4 kemahiran berfikir yang penting iaitu Pemikiran Kreatif (untuk menjana idea), Pemikiran Kritikal (untuk memilih idea terbaik untuk dilaksanakan), Pemikiran Strategik (untuk melaksanakan pelbagai idea yang menghasilkan sinergi apabila dilaksanakan serentak) dan 'future thinking' iaitu Pemikiran Berpaksikan Masa Depan (untuk memilih idea yang kalis perubahan masa akan datang), supaya inovasi dapat berlaku. Saya menegaskan, inovasi adalah tentang melaksanakan dan membangunkan idea hingga ia menjadi realiti. Dari fikiran anda kepada dunia.
Inovasi adalah menyelesaikan masalah dengan cara yang praktikal & menguntungkan.
Mindset Inovasi #2: Sentiasa Bersedia Mengubah 'Cara Lama'
'Mindset' seorang penginovasi bermula dengan kesediaan untuk mempersoalkan cara lama dan memperkenalkan cara baru yang lebih bagus. Contohnya, saya tidak bersetuju dengan definisi inovasi oleh Google! Jika anda buat carian definisi inovasi di Google, ini yang anda akan jumpa: "The action or process of innovating a new method, idea, product, etc." — "Tindakan atau proses menginovasikan sesuatu kaedah, idea, produk dan sebagainya yang baru."
Dan saya tidak setuju! Jika anda mencari definisi inovasi, anda akan mendapat jawapan yang berbeza daripada orang-orang berbeza. Malah di kalangan pakar-pakar inovasi pun, terdapat begitu banyak definisi inovasi yang berbeza. Untuk membantu memahami definisi inovasi, saya akan bertanya apakah perbezaan kreativiti dan inovasi?
Pada pendapat saya, perbezaan antara kreativiti & inovasi adalah:
Kreativiti adalah MENJANA idea baru. Inovasi adalah MELAKSANAKAN idea & menjadikan ia realiti!
Seterusnya, saya akan bertanya apakah tujuan Inovasi? Pada pendapat saya, definisi inovasi adalah: Inovasi adalah menyelesaikan masalah dengan cara yang praktikal & menguntungkan.
Fokusnya BUKAN kepada proses, tetapi kepada hasilnya, iaitu penyelesaian masalah.
Fokusnya BUKAN berpaksikan kata kunci 'baru' atau unik.
Dan apabila saya menerangkannya kepada pelanggan saya, ia lebih mudah diterima kerana ia lebih mudah difahami dan lebih praktikal. Kesimpulannya, bersedia untuk mencipta perubahan dan segala perubahan yang kita lakukan dapat menyelesaikan masalah yang kita mula-mula mahu selesaikan. Dan ini membawa kita kepada 'mindset' inovasi yang seterusnya.
Kisah Inovasi #2 — Perniagaan Pertama Saya
Pada suatu ketika dahulu, saya berhenti kerja sebagai eksekutif yang bertanggungjawab merangka strategi pemasaran untuk sebuah syarikat telekomunikasi. Saya masih muda, naif, bersemangat tinggi, dan bercita-cita besar. Saya memulakan sebuah agensi pemasaran untuk golongan belia dan pelajar universiti, dan produk utama saya adalah kad kesetiaan untuk belia yang diintegrasikan dengan sebuah aplikasi. Pada masa itu, konsep seperti ini belum begitu umum seperti sekarang.
Aplikasi tersebut mempunyai ciri-ciri biasa seperti pengumpulan dan penebusan mata ganjaran, tetapi semakin lama semakin banyak idea dijana oleh saya dan pasukan saya. Kami telah mewujudkan papan markah, kedudukan carta, lencana dan fungsi persaingan, dengan harapan fungsi-fungsi ini akan menggalakkan lebih banyak transaksi belian dan kesetiaan pelanggan.
Gambar Kad Keahlian/Kesetiaan Belia — akan ada didalam versi cetakan fizikal.
Kad tersebut berjaya mendapat tempat pada peringkat separuh akhir rancangan realiti TV yang bertemakan perniagaan.
Kesilapan saya adalah terlalu fokus kepada mencipta dan menghasilkan idea tanpa memeriksa sama ada pelanggan benar-benar memerlukan penyelesaian tersebut atau tidak. Hanya kerana kita boleh menambah lebih banyak ciri, tidak bermakna kita patut melakukannya. Mempunyai banyak idea menjadi gangguan dan membazirkan masa serta wang kami.
Apa yang sepatutnya saya lakukan adalah mengimbangkan kreativiti saya dengan pemikiran kritis. Pembelajaran saya adalah, semua berbalik kepada membantu menyelesaikan masalah pelanggan kita…
Kenapa Anda Dibayar?
Sebagai seorang usahawan, kenapa pelanggan anda mahu membayar anda duit? Untuk produk & perkhidmatan? Untuk masa anda? Untuk kemahiran anda? Untuk ilmu yang anda ada? Semua jawapan itu tak salah tapi 'mindset' saya adalah…
Anda dibayar untuk menyelesaikan masalah…
Ya betul! Tak kiralah betapa pandai anda menjual produk. Tak kiralah betapa banyak masa anda gunakan. Tak kiralah betapa mahir dan pintarnya anda. Semua itu tidak bermakna jika anda gagal menyelesaikan masalah pelanggan anda. Samalah juga jika anda masih bekerja dan makan gaji. Tak kiralah anda mengambil 3 minggu untuk menyiapkan sebuah proposal. Tak kiralah anda ada PhD atau sijil kelulusan yang tinggi. Tak kiralah berapa lama pengalaman kerja yang anda ada, jika anda tidak menyelesaikan masalah boss anda maka boss anda tetap tidak berpuas hati dengan anda.
Oleh itu, kunci kejayaan berinovasi adalah cuba membantu menyelesaikan masalah 'pelanggan' kita sebaik mungkin. Tetapi, anda mungkin berkata, "saya dah bantu pelanggan saya sebanyak mungkin, last last, saya yang rugi". Betul, tak dinafikan itu memang kerap berlaku. Oleh itu saya tambah sikit…
Kunci Kejayaan Berinovasi Adalah…
…membantu orang lain berjaya dengan 'win-win'.
Apa dimaksudkan dengan 'win-win'? Ia bermaksud, bila kita membantu pelanggan kita, kita kena sama-sama menang, sama bermanfaat daripada transaksi perniagaan tersebut. Contohnya, kalau saya nak baju raya, saya boleh pergi kedai untuk membelinya. Boleh tak saya jahit sendiri? Boleh, tetapi saya kena sendiri cari bahan, cari kain, belajar bagaimana hendak menjahit, belajar cara mencari kualiti kain yang bagus dan sebagainya maka saya mungkin ambil masa bertahun-tahun untuk menyiapkan baju tersebut. Pada masa yang sama, kalaulah saya bayar seseorang yang ada pengalaman tersebut, yang ada kemahiran tersebut, yang ada ilmu tersebut maka saya tak perlu buat semua benda-benda yang tadi dan sebagai ganti saya membayar dia. Kesimpulannya, dia dapat manfaat bayaran daripada saya dan saya pula dapat manfaat berbentuk baju.
Oleh itu, jika anda rasakan anda sentiasa dalam kerugian, semak balik adakah cara anda membantu di dalam bentuk 'win-win' atau tidak? Jika tidak, betulkan 'mindset' anda, supaya anda mampu mencipta kolaborasi 'win-win'. Mengapa?
Mari saya cuba beri contoh. Contohnya, saya diberi tanggungjawab untuk mengusulkan satu kaedah untuk memastikan pantai-pantai Malaysia sentiasa bersih. Idea yang saya usulkan adalah dengan mencipta satu juta robot pengutip sampah yang canggih yang akan mengutip sampah di seluruh Malaysia sepanjang masa. Bagus tak? Mungkin bagus tetapi adakah ia dapat dilaksanakan dari segi kewangan? Idea tersebut mungkin efektif tapi tidak praktikal dari segi kewangan.
Semua masalah akan mempunyai kekangan-kekangan tertentu. Oleh itu, sebarang idea atau inovasi yang mahu difikirkan pun akan tertakluk kepada kekangan-kekangan tadi. Asalkan masalah dapat diselesaikan, baguslah! Oleh itu, idea yang kita hasilkan tidak semestinya idea yang tercanggih, paling baru atau paling unik di Malaysia.
Mindset Inovasi #3: Inovasi Tak Semestinya Baru Atau Unik
Melalui pengalaman saya, inovasi adalah bergantung kepada konteks dan situasi masing-masing.
Idea anda mungkin bukan satu-satunya yang wujud di dunia ini, tetapi jika anda berjaya melaksanakannya dan ia membantu menyelesaikan masalah perniagaan anda, apa salahnya? Siapa kisah jika idea itu asli atau tidak?
Yang penting idea itu berjaya membawa impak positif. Misalnya, seorang penjual nasi lemak menjual nasi lemak buatannya dengan memakai kostum Spider Man. Bukankah itu kreatif? Adakah ia idea yang paling unik? Mungkin tidak, tapi saya yakin idea tersebut telah membantu merancakkan perniagaan beliau, dan itulah yang beliau inginkan! Dan itulah yang paling penting!
Contohnya, ramai usahawan malu berkongsi ilmu di sosial media kerana ada lebih ramai pakar-pakar di sosial media. Oleh itu, jika mereka mahu lebih aktif di sosial media, mereka kena buang mindset itu, dan menggantikannya dengan mindset baru. Contohnya, mindset baru adalah "saya berkongsi ilmu bukan kepada orang yang dah tahu, tapi untuk orang yang tak tahu" atau "tak salah saya kongsi ilmu sebab lagi ramai kongsi ilmu, lagi ramai yang tahu". Maka, bila mindset baru ini sudah dibentuk maka senanglah usahawan tersebut lebih berani dan konsisten berkongsi ilmu di sosial media.
Mindset Inovasi #4: Kejelasan Sebelum Kepantasan
Pada tahun 2023, saya telah mula menulis buku ini, dan tidak lama kemudian saya mencetak 100 salinan buku ini. Kenapa hanya 100 salinan sahaja? Sebab saya tahu ia hanyalah sebuah eksperimen, dan memandangkan ia adalah buku pertama hasil penulisan saya maka sudah pasti ia mempunyai banyak kekurangan. Antaranya, buku tersebut tidak mempunyai sasaran pembaca yang jelas. Saya ingin berkongsi mengenai inovasi kepada semua golongan. Saya menulis membayangkan buku saya ditulis oleh semua jenis usahawan, golongan profesional dan golongan korporat sekaligus. Hasilnya, adalah naratif yang berterabur, mesej yang kurang jelas dan pembacaan yang membosankan.
Oleh itu, untuk buku yang anda baca ini, saya berniat untuk menulis buku ini khusus untuk usahawan-usahawan baru yang kekurangan pengalaman tetapi masih mahu berinovasi. Dan hasilnya, buku ini lebih mudah dan senang ditulis berbanding buku versi prototaip itu tadi.
Inilah kuasa mempunyai kejelasan di dalam objektif anda. Analoginya adalah, di dalam sebuah perlumbaan, tak guna laju, kalau tak pasti hala tuju sebab laju tanpa hala tuju boleh membawa kepada kesesatan. Di dalam bab seterusnya, kita akan belajar konsep FLOWER, untuk membantu anda mengenal pasti matlamat hidup anda dan ia pula akan membantu mengenal pasti matlamat perniagaan anda.
Mindset Inovasi #5: Obsesi Terhadap Pelanggan
Ramai orang ada obsesi terhadap mengumpul kekayaan, tak ramai ada obsesi untuk membantu pelanggan. Ingat, saya ada kongsikan sebelum ini, kenapa kita dibayar untuk menyelesaikan masalah. Jika anda seorang usahawan, tiada siapa mahu memberi anda duit tanpa sebab.
Beberapa tahun lepas, saya dijemput mengajar keusahawanan kepada usahawan-usahawan produk berasaskan pertanian untuk Jabatan Pertanian Selangor. Antara sebab saya memilih untuk melibatkan diri dalam projek tersebut adalah kerana keusahawanan adalah satu topik yang saya minat dan sebagai seorang usahawan juga saya mahu membina kaedah-kaedah yang dapat membantu diri saya dan usahawan lain untuk menjadi usahawan yang lebih bagus.
Sejak itu, saya sentiasa memikirkan 'business tools' dan 'business methods' baru yang boleh bantu usahawan. Antaranya adalah rangka DREAM, 'Business X-ray' & Termometer Pemasaran. Semua ini saya cipta untuk memudahkan hidup anda sebagai seorang usahawan.
Soalannya, kenapa? Saya boleh menjawab yang tujuan saya membantu usahawan adalah kerana saya percaya jika saya bantu usahawan, ia akan dapat membantu Malaysia berinovasi secara keseluruhan. Tetapi sebenarnya, saya rasa ia sudah menjadi obsesi untuk membantu usahawan. Mungkin sebab saya pernah selalu gagal dalam berbisnes? Atau mungkin sebab saya mahu menjadi usahawan lebih berjaya di masa akan datang. Yang saya pasti adalah apabila kita ada obsesi terhadap membantu pelanggan, ia akan menjadi minyak pembakar semangat untuk kita menjalankan tugas dan menyelesaikan masalah pelanggan kita. Kesimpulannya, obsesi terhadap pelanggan membina sumber motivasi tahan lama dan obsesi terhadap mengumpul harta membantutkan motivasi bila duit tiada.
Mindset Inovasi #6: 'Mindset' Hari Pertama
Berapa kerapkah syarikat anda berinovasi setiap hari? Sesetengah pasukan tidak berinovasi walaupun secara bulanan. Sebaliknya, Amazon, syarikat e-commerce terbesar di dunia, mereka berinovasi setiap hari, mereka sentiasa bereksperimen dengan harga produk, algoritma cadangan, susun atur dan copywriting laman web mereka. Kenapa? Kerana Amazon mempunyai budaya: Bergerak Dahulu, Bereksperimen Sentiasa, dan Gagal Dengan Cepat.
Ini ditunjukkan dalam 'Mindset Hari Pertama' mereka. 'Mindset' Hari Pertama bermaksud mempunyai pemikiran bahawa terdapat banyak peluang dan idea yang boleh diterokai dalam usaha mencapai kepuasan pelanggan yang membawa kepada pertumbuhan dan peningkatan syarikat. Hari Kedua merujuk kepada keadaan apabila sebuah syarikat berhenti berinovasi dan hanya mengejar metrik perniagaan. Ini mengakibatkan syarikat bergerak dengan lebih perlahan dan hilang arah, dengan fokus kepada politik dalaman dan pembetulan yang berlebihan dalam kawalan kos.
Jadi, apa yang boleh anda lakukan untuk mendapatkan dan mengekalkan 'Mindset Hari Pertama'? Berikut adalah empat perkara yang boleh anda mulakan: Growth Mindset, Rasa Ingin Tahu, Just Do It, dan Fikir Besar.
Mindset Inovasi #7: 'Growth Mindset'
'Growth Mindset' adalah pemikiran yang berpendapat bahawa anda sentiasa boleh mendapatkan sesuatu dengan usaha yang berterusan, berbeza dengan 'Fixed Mindset' yang mempercayai kejayaan hanya bergantung kepada bakat, kemahiran, atau kecerdasan semula jadi. Apabila anda gagal disebabkan sesuatu idea anda, 'Fixed Mindset' mengatakan anda patut henti sebab anda tiada bakat untuk berjaya. Sebaliknya, apabila idea anda gagal, 'Growth Mindset' mengatakan "tidak apa, kita cuba lagi. Lagi banyak kita gagal, lagi banyak kita belajar dan akan berusaha lagi kuat!".
Walaupun bakat dan kecerdasan memainkan peranan besar dalam kejayaan, saya percaya bahawa sebelum anda mencapai batas bakat dan kecerdasan anda, anda akan berhadapan dengan keraguan diri dahulu dan perasaan inilah yang menghalang anda mencapai potensi anda. Saya mengesyorkan anda membaca buku 'Mindset: The New Psychology of Success' hasil penulisan Carol Dweck.
Sebagai kesimpulan, berinovasi adalah satu maraton, satu usaha berterusan dan 'Growth Mindset' membantu anda bertahan lebih lama apabila berhadapan kegagalan. Dan percaya cakap saya, anda pasti akan hadapi kegagalan dalam usaha anda mengubah idea menjadi realiti. Kuncinya, adalah anda mampu pelajari dari kegagalan tersebut dan mengubahnya jadi kejayaan atau mengaku kalah.
Mindset Inovasi #8: Rasa Ingin Tahu
Rasa ingin tahu adalah keinginan semulajadi untuk belajar sesuatu yang anda tidak tahu sebelum ini, dan bukannya dipaksa untuk mempelajarinya. Beberapa idea hebat telah dijumpai dengan hanya perasaan ingin tahu, contohnya, Alibaba yang diasaskan oleh Jack Ma bermula dengan melakukan carian di internet dan mendapati tiada apa-apa maklumat tentang negara beliau iaitu China, lalu beliau memulakan laman web China Pages. Ini merupakan langkah pertamanya dalam industri internet, yang akhirnya membawa kepada penubuhan Alibaba bertahun-tahun kemudian. Pada masa itu, beliau tidak tahu bahawa ini akan membawa kepada syarikat bernilai lebih daripada 500 billion dollar.
Kesimpulannya, idea besar boleh bermula dengan terdetiknya hati untuk mengetahui sesuatu.
Mindset Inovasi #9: Fikir Besar
Steve Jobs, pengasas syarikat komputer Apple, tidak berhenti dengan hanya menjual komputer, dia juga mahu menjual pemain MP3 melalui iPod. Dia membayangkan dunia di mana orang akan membeli muzik pada harga satu dolar melalui aplikasi iTunes, dia memilih untuk melihat keseluruhan ekosistem. Elon Musk pula tidak hanya berfikir untuk menjual kereta elektrik tetapi melihat bagaimana penjanaan tenaga suria di rumah boleh membantu mengecas kereta, sebab itu dia turut mengasaskan Solar City. Kedua-dua tokoh ini tidak takut untuk berfikir besar.
Otak kita mengikut niat kita. Apa yang kita fikir itulah yang ia percaya. Lagi besar yang kita berani fikir, lagi besar solusi yang akan datang. Ia tak datang serta merta, tapi ia akan datang. Sebaliknya, jika kita fikir kita hanya mampu buat kecil-kecilan maka idea yang datang akan bersifat kecil-kecilan. Maka, buat apa fikir kecil-kecilan, alang-alang fikir besar terus!
Mindset Inovasi #10: Miliki 'Craftsman Mindset'
Ramai mahu dibayar, tapi tak ramai mahu menjadi pakar. Seperti saya katakan sebelum ini, pelanggan kita bayar kita untuk menyelesaikan masalah. Dan itu memerlukan ilmu dan kepakaran. Ini bermaksud seseorang yang memiliki 'Craftsman Mindset' perlu berfikir jangka panjang dan bersedia membangunkan kecekapan untuk tugas yang menyumbang kepada keperluan industri, masyarakat, atau dunia. Bila saya cakap 'kecekapan', saya maksudkan kecekapan adalah gabungan kemahiran, pengetahuan, dan sikap. Tak kiralah betapa bagusnya idea anda, jika anda kekurangan salah satu daripada tiga komponen ini, anda akan menghadapi pelbagai cabaran dalam perjalanan keusahawanan anda.
Saya harap dengan 10 'mindset-mindset' ini anda akan membina asas kekuatan mental untuk mengharungi cabaran-cabaran bisnes anda di masa akan datang. Tapi bagaimana 'mindset-mindset' boleh dibina dan dijadikan berkekalan?
Tabiat Buruk Yang Menghalang Inovasi
Bagaimana hendak membina 'mindset' baru? Di permulaan bab ini, saya ada menceritakan, pembinaan 'mindset' baru bermula dengan membuang tabiat lama. Bagaimana membuang tabiat lama? Sama juga seperti 'mindset' lama perlu dibuang untuk memberi ruang kepada 'mindset' baru. Tabiat lama juga perlu dibuang untuk memberi ruang kepada tabiat baru. Bagaimana? Kita kena ubah 'mindset' yang menyebabkan tabiat itu bermula terbentuk dan menggantikannya dengan 'mindset' yang baru. Cuba baca tabiat-tabiat dibawah dan kenal pasti sama ada anda juga mempunyai tabiat-tabiat buruk tersebut.
Tabiat Buruk #1: Kerap Bertangguh
Saya bermula berniat hendak menulis buku ini pada beberapa tahun yang lepas tapi hanyalah baru berjaya menerbitkan buku ini pada 2026. Kenapa? Kerana saya kerap bertangguh. Sudah tentu saya boleh guna alasan yang saya kena fokus kepada benda-benda yang lebih penting, dan memang betul pun. Tapi pada masa yang sama saya kena akui juga yang sikap bertangguh memainkan peranan yang besar juga. Adakah anda juga mempunyai tabiat buruk yang sama?
Ramai orang beranggapan sikap suka bertangguh adalah disebabkan kemalasan. Dan kemalasan adalah isu disiplin, SALAH! Kemalasan bukan isu disiplin tetapi isu pengurusan emosi. Apabila kita memaksa diri sendiri berbuat sesuatu atas nama disiplin kita akan merasa stress dan akhirnya menyebabkan kehilangan motivasi apabila tiada hasil.
Sebaliknya, kita kenal pasti kenapa kita bertangguh. Apakah sebabnya? Ada pelbagai sebab tetapi selalunya berkaitan dengan emosi. Tetapi jika ia bukan berkaitan emosi, selalunya ia berkaitan dengan tabiat buruk seterusnya.
Tabiat Buruk #2: Selalu Overthinking
Salah satu perkara yang menyebabkan saya selalu bertangguh menulis buku ini adalah kerana saya mengalami 'analysis paralysis' dimana saya berfikir terlalu banyak semasa memikirkan kandungan buku ini, sampaikan nak memilih bahasa buku ini mengambil beberapa bulan. Pernahkah anda mengalami 'analysis paralysis'?
Kenapa ya? Bagi situasi diri saya sendiri dan dari pemerhatian saya, kenapa kita selalu 'overthinking' adalah kerana ia berkaitan dengan tabiat buruk yang seterusnya iaitu 'mencari kesempurnaan'.
Tabiat Buruk #3: Mencari Kesempurnaan
Kebanyakan dari kita gagal untuk menjadikan impian kita realiti kerana kita sentiasa dalam fasa mencipta. Kenapa? Sebab kita nak pastikan ia sempurna barulah kita nak lancarkan idea tersebut. Masalahnya, tiada apa yang sempurna dan tiada siapa akan setuju 100% produk anda adalah bagus.
Maka, kita sampai kepada sebab sebenar kenapa ramai yang tidak menjadikan idea mereka sebuah realiti iaitu mereka takut apa orang kata.
Tabiat Buruk #4: Cenderung Takut Apa Orang Kata
Pada pendapat saya, sebab nombor satu seorang usahawan atau penginovasi takut untuk menjayakan idea mereka, adalah kerana mereka memikirkan mereka tidak cukup bagus. Dan 'mindset' mereka ini menjadi zahir dalam bentuk kecenderungan untuk takut apa orang kata.
Inilah kenapa kita selalu bertangguh, inilah kenapa kita selalu 'overthinking' dan inilah kenapa kita taksub mencari kesempurnaan dalam kerja kita. Sebabnya adalah takut kepada apa orang akan kata kalau kita salah atau gagal.
Pada suatu masa dahulu, saya pun merasai benda yang sama, ada ramai sifu-sifu bisnes yang lebih berilmu & lebih berpengalaman dari saya dan ia membuatkan saya kurang yakin untuk melabur lebih masa & tenaga ke dalam perjuangan saya untuk memandaikan usahawan malaysia.
Sehinggalah, saya tukar 'mindset' saya yang bidang ilmu bisnes ini luas dan semua sifu bisnes ini ada kelebihan, kekurangan dan kepakaran masing-masing. Secara khususnya, saya ada pengalaman dan ilmu untuk membantu usahawan Malaysia dari segi kreativiti dan inovasi maka itulah yang akan saya fokus.
Dan juga, akhirnya saya sedari bahawa saya lebih rela diperli dan dikutuk di dalam proses saya memandaikan usahawan Malaysia daripada tidak berbuat apa-apa. Ya, mungkin ada yang berpendapat terdapat banyak perkara yang saya perlu perbaiki di dalam perniagaan saya, tetapi saya sebenarnya terbuka kepada maklum balas dan sedia untuk memperbaiki diri dan proses-proses dalam perniagaan. Kesimpulannya, jangan takut apa orang kata dan jangan takut untuk berubah, asalkan niat kita baik dan ikhlas melakukannya.
Kemahiran Berfikir Inovatif
Perasan tak, tabiat-tabiat buruk yang kita bincang tadi: bertangguh, overthinking, asyik mencari kesempurnaan, semuanya mempunyai satu persamaan. Mereka menghalang diri kita menggunakan bakat dan kemahiran pemikiran kreatif kita. Tanpa kita sedari, kita guna otak kritikal terlalu awal, sebelum memberi ruang untuk otak kita berfikir secara kreatif.
Tetapi, walaupun anda mempunyai mindset inovasi & berjaya membuang tabiat buruk yang menghalang inovasi, semua itu tidak berguna kalau kita sendiri tidak tahu bagaimana nak berfikir secara kreatif. Jom saya kongsikan kemahiran-kemahiran yang perlu anda asah untuk menjadi usahawan yang lebih baik.
Pemikiran Kreatif
Ingat tak semasa saya menceritakan Mindset Inovasi #2 saya ada kongsikan bahawa kreativiti adalah penjanaan idea. Lagi banyak idea you perlukan, lagi banyak kemahiran pemikiran kreatif yang anda perlukan.
Ya betul, kreativiti tidak menjamin idea yang dijana adalah bagus. Tapi hakikatnya setiap idea yang bagus datang daripada proses pemikiran kreatif.
Jadi, bagaimana nak asah pemikiran kreatif kita? Jawapannya, ada macam-macam, ada pelbagai teknik dan kaedah. Saya cadangkan, mulakan dengan menerapkan mindset-mindset inovasi yang saya kongsikan tadi, dan membuang tabiat-tabiat yang menghalang inovasi juga. Antara teknik-teknik yang anda boleh kaji dan belajar adalah:
SCAMPER (Substitute, Combine, Adapt, Modify, Put to other use, Eliminate, Reverse) — Kaedah brainstorming untuk mengubah suai idea sedia ada.
Mind mapping — Proses menyusun idea secara visual dan pada masa yang sama membantu percambahan idea.
Belajar Dari Luar Industri — "Macam mana industri lain selesaikan masalah ni?" Buka minda dan belajar dari luar industri anda untuk mendapat idea-idea yang mungkin ada terlepas pandang.
Random Input — Pilih objek/perkataan secara rawak dan paksa diri untuk cipta satu kaitan dengan masalah anda; bagus apabila ketandusan idea dan memerlukan kemahiran pemikiran kreatif perlu diasah lagi.
6 Thinking Hats (De Bono) — Konsep yang sangat popular berkenaan pemikiran kreatif. Sangat fleksibel dan boleh diamalkan dalam pelbagai konteks.
Selain teknik-teknik di atas saya juga akan kongsikan teknik-teknik ciptaan saya yang dicipta khas untuk golongan usahawan iaitu FLOWER Framework dan CUSTMR Framework di dalam bab-bab akan datang. Tapi sebelum itu, jom kita pelajari apa itu kemahiran pemikiran kritikal.
Pemikiran Kritikal
Ingat tak kisah mengenai idea bisnes kad loyalti saya di awal bab ini? Saya asyik menambah fungsi-fungsi tanpa mempertimbangkan matlamat, kos dan kesesuaian berbuat demikian. Buat sebab boleh, bukan sebab perlu. Hasilnya duit dan masa dibazirkan. Dan ini adalah contoh kekurangan pemikiran kritikal atau ada orang panggil pemikiran logikal.
Tapi apa itu pemikiran kritikal? Ada pelbagai definisi, tapi saya rasakan definisi yang paling praktikal dan ringkas adalah keupayaan berfikir untuk menyusun maklumat, membanding maklumat dan membuat kesimpulan. Jika anda kerap melakukan tiga perkara ini dan ia membawa kepada tindakan yang tepat dan membawa kejayaan, tahniah! Anda seorang pemikir logikal yang berkualiti. Tapi jika anda kurang berbakat sebagai pemikir logikal, apakah caranya untuk mengasah kemahiran pemikiran kritikan?
Sama juga macam tadi, ada pelbagai teknik & kaedah, yang dibawah adalah yang paling popular:
5 Whys — Jangan tanya kenapa satu kali sahaja, korek lagi dalam lagi. Contoh: Kenapa sales jatuh? Marketing kurang. Kenapa marketing kurang? Copywriting tak bagus. Kenapa copywriting tak bagus? Ulang sampai jumpa isu sebenar.
Decision Matrix — Senarai & susunkan beberapa calon idea mengikut kriteria-kriteria yang penting seperti kos masa, kos duit & kebolehlaksanaan di dalam sebuah jadual. Markah diberikan untuk setiap idea & kriteria, dan jumlahkan markah tersebut, memilih idea yang mempunyai markah tertinggi.
Pre-mortem — Bayangkan idea anda sudah pun gagal, kemudian kenal pasti sebab-sebabnya. Kemudian, dari situ cuba cari kaedah mengelakkannya berlaku.
Devil's advocate — Sengaja menjadi pengkritik terhebat idea anda sendiri dengan memikirkan hujah untuk menjatuhkan idea sendiri sebelum anda memulakan idea tersebut. Ini membantu mengenal pasti kelemahan-kelemahan idea anda.
Analisis SWOT — Kaji Strength (Kekuatan), Weakness (Kelemahan), Opportunity (Peluang) dan Threat (Ancaman) dalam perniagaan anda.
Saya juga akan kongsikan kaedah mengaplikasikan pemikiran kritikal ke atas FLOWER Framework dan CUSTMR Framework di dalam bab-bab akan datang. Nanti-nantikan.
Tapi sebelum itu, mempunyai pemikiran kritikal yang bagus ada bahayanya. Ia boleh menyebabkan sebuah idea dicantas sebelum ia dapat mekar sepenuhnya kepada sebuah idea yang berkualiti. Oleh itu, apa solusinya?
Pemikiran Kreatif vs Pemikiran Kritikal
Saya sudah kongsikan yang kreativiti membantu penjanaan idea dan inovasi adalah menyelesaikan masalah dengan cara yang praktikal & menguntungkan. Tapi bagaimana kita memastikan idea tersebut praktikal dan menguntungkan? Ya, dengan menggunakan pemikiran kritikal. Inovasi memerlukan pemikiran kreatif & pemikiran kritikal.
Analoginya adalah kreativiti bantu membuka banyak pintu, tetapi pemikiran kritikal membantu mengenal pasti pintu yang betul untuk kita masuk. Dan setiap kemahiran pemikiran ini memerlukan masa yang sesuai untuk digunakan.
Antara kesilapan usahawan, adalah menggunakan kemahiran pemikiran yang salah pada masa yang salah. Dan inilah kenapa saya mencipta DREAM Framework. Ia membantu anda mengenal pasti apakah cara pemikiran yang sesuai pada masa sesuai untuk perniagaan anda:
Desire & Research lebih banyak menggunakan Pemikiran Kreatif untuk tujuan eksplorasi mencari idea impian anda
Experiment, Analysis & Modify lebih banyak Pemikiran Kritikal untuk menilai & menapis butiran terperinci idea anda
Secara amnya, untuk menjadi pemikir yang inovatif, kita perlu kerap mengubah di antara pemikiran kreatif dan pemikiran kritikal. Lagi kerap anda bertukar, lagi bagus idea anda akan menjadi.
Sekarang anda dah faham mindset, tabiat buruk, dan kemahiran-kemahiran berfikir dalam berinovasi. Tahniah! Anda sudah bersedia untuk belajar DREAM Framework.
Kembali kepada kisah umrah saya, mindset saya berubah pada hari itu di Mekah. Tapi satu soalan masih tergantung tanpa jawapan: apakah sebenarnya perjuangan saya? Dalam bidang apa? Untuk siapa? Jawapan itu tidak datang di sana. Ia datang sebulan dua kemudian, dalam satu perbualan yang saya tidak jangka akan mengubah hala tuju hidup saya. Jom saya kongsikan di dalam bab seterusnya.
Ringkasan Bab 2
10 Mindset Inovasi
Kita Berinovasi Untuk Menyelesaikan Masalah
Sentiasa Bersedia Mengubah 'Cara Lama'
Inovasi Tak Semestinya Baru Atau Unik
Kejelasan Sebelum Kepantasan
Obsesi Terhadap Pelanggan
Mindset Hari Pertama
Growth Mindset
Rasa Ingin Tahu
Fikir Besar
Craftsman Mindset
4 Tabiat Buruk Berinovasi
Kerap Bertangguh
Selalu Overthinking
Mencari Kesempurnaan
Cenderung Takut Apa Orang Kata
Bab 3
Desire — Kenali Apa Yang Anda Mahukan
Kemahuan vs Matlamat
Jujur dengan saya sebentar. Berapa kali anda pernah ditanya "apakah matlamat hidup anda" dan kemudian termenung kosong?
Kalau berjaya tulis sesuatu pun, mungkin akan tulis angka-angka yang nampak logik. "Saya nak capai RM50,000 sebulan dalam masa dua tahun." tetapi anda kemudian simpan kertas tu, letak dalam fail, dan seminggu kemudian anda dah lupa apa yang anda tulis.
Kenapa boleh jadi macam tu? Bukan sebab anda malas. Bukan sebab anda tak serius. Tapi sebab matlamat yang anda tulis tu tiada jiwa.
Matlamat Ada Angka. Kemahuan Ada 'Roh'.
Kita semua dibesarkan dengan idea yang sama: kalau nak berjaya, kena ada matlamat. "Apakah big why anda?!", "Fokus pada matlamat!". Saya pun pernah dengar benda yang sama. Dan saya pun pernah buat benda yang sama.
Tapi ada satu benda yang tak pernah ada dalam semua tips-tips "goal setting" tu: emosi.
Cuba anda bandingkan dua ayat ni:
"Matlamat saya nak dapat RM30 juta dalam 3 tahun."
"Saya nak pastikan ibu bapa saya boleh bersara dengan tenang, tanpa perlu risau pasal duit sampai akhir hayat mereka."
Mana satu yang buat anda 'rasa' sesuatu?
Itulah bezanya matlamat dan kemahuan. Matlamat adalah destinasi. Kemahuan adalah sebab anda sanggup berjalan jauh untuk sampai ke sana.
Dan manusia, kita ni bergerak atas emosi bukan logik. Logik boleh tunjukkan jalan. Tapi emosi yang bagi kita tenaga untuk berjalan.
Kemahuan bukan sekadar apa yang anda nak miliki. Ia tentang apa yang anda nak berikan, apa yang anda nak ubah, dan siapa yang anda nak jadi.
Contohnya:
"Saya nak hantar anak saya belajar ke luar negara supaya dia ada peluang yang saya tak pernah ada."
"Saya nak bina bisnes yang boleh diwarisi anak cucu, sesuatu yang bermakna selepas saya tiada."
"Saya nak buktikan kepada diri sendiri yang saya mampu — bukan untuk orang lain, tapi untuk saya."
Nampak tak? Ada nama. Ada wajah. Ada perasaan. Bila anda baca balik kemahuan macam ni, ada sesuatu yang bergerak dalam dada anda.
Itulah bekalan motivasi yang akan menggerakkan anda pukul 1 pagi apabila semua orang lain dah tidur.
Matlamat adalah logikal, tetapi keinginan adalah emosional...
Kisah Inovasi #3 — Misi Yang Lahir Dari Kekeliruan
Sebulan dua selepas balik dari umrah, saya masih mencari.
Mindset saya dah berubah — saya dah tahu saya mahu membantu orang. Tapi membantu bagaimana? Dalam bidang apa? Untuk siapa? Soalan-soalan itu masih tergantung tanpa jawapan. Rasa macam saya pegang kompas yang dah betul arah tapi peta masih kabur.
Nasib baik saya ada bos yang bagus, Tuan Johan Irwan, seorang pakar kepimpinan yang saya sangat hormati. Beliau faham keinginan saya untuk menjadi seorang pendidik, dan beliau tanya satu soalan yang nampak mudah tapi kesannya luar biasa: "Topik apa yang anda nak kuasai?"
Saya terdiam. Saya tidak tahu jawapannya. Saya boleh ajar macam-macam topik tetapi tahap ilmu yang ajar itu belum cukup untuk saya dipanggil sebagai seorang pakar. Inilah maksud Tuan Johan.
Malam tu, saya duduk diam dan buat sesuatu yang jarang saya buat sebelum ini — saya berhenti berfikir tentang duit, berhenti berfikir tentang apa yang orang lain mahu, dan mula berfikir tentang diri saya sendiri yang sebenar.
Bukan siapa yang saya patut jadi. Tapi siapa saya sebenarnya, sejak kecil sampai sekarang.
Dan perlahan-lahan, satu benang mula kelihatan. Dari kecil, saya melukis dan menjual komik kepada kawan-kawan. Membesar, saya tertarik kepada teknologi dan membina aplikasi. Dalam kerjaya, saya sentiasa mencari cara baru untuk buat sesuatu yang sudah ada dengan lebih baik, lebih kreatif, lebih berbeza.
Semuanya ada satu persamaan: kreativiti dan inovasi.
Saya kongsikan penemuan ini kepada Tuan Johan keesokan harinya. Beliau tersenyum dan berkata: "Bagus. Sekarang pergi baca buku 10 terbaik dari pakar-pakar kreativiti dan inovasi terhebat di dunia."
Saya ikut arahannya. Dan dalam masa sebulan dua, saya sedar sesuatu yang penting — saya tidak rasa berat langsung membaca buku-buku tu. Saya rasa seronok. Saya rasa hidup. Masa berlalu tanpa saya sedar.
Itulah tanda kemahuan yang sebenar. Bukan sesuatu yang anda paksa diri untuk buat. Tapi sesuatu yang anda buat dengan ringan, walaupun ia payah.
Itu bukan matlamat yang saya tetapkan dari awal. Itu kemahuan yang saya temui melalui refleksi yang jujur. Dan kemahuan itulah yang masih membakar semangat saya sampai ke hari ini, walaupun di saat-saat yang paling mencabar sekalipun.
Pengajaran dari kisah ini untuk anda: kemahuan tidak semestinya datang dari langit. Ia sering tersembunyi dalam sejarah hidup anda sendiri — dalam benda-benda yang anda lakukan dengan gembira sejak kecil, tanpa ada siapa yang paksa anda.
Jadi, Soalan Yang Betul Adalah...
Jangan tanya diri sendiri: "Apa matlamat bisnes saya?"
Tanya ini: "Apa yang saya mahukan dari bisnes dan hidup saya?"
Sebab di situlah terletaknya semangat sebenar. Di situlah api yang tidak akan padam bila keadaan jadi susah.
Seterusnya, kita akan bincang kenapa kejelasan kemahuan ini bukan sekadar motivasi, ia adalah asas kepada strategi bisnes anda.
Kenapa Menetapkan Matlamat Tidak Mencukupi
Anda dah tahu apa itu kemahuan. Sekarang soalannya: kenapa ia penting sangat untuk bisnes anda?
Biar saya tunjukkan dengan satu rantaian mudah.
Bila anda tidak punya kemahuan yang jelas, strategi bisnes anda pun jadi kabur. Bila strategi kabur, anda bertindak dengan ragu-ragu. Bila ragu-ragu, fokus hilang. Bila fokus hilang, anda tak efisien. Bila tak efisien, kemahiran lambat berkembang. Bila kemahiran lambat, hasil pun lambat. Bila hasil lambat, bisnes tak tahan lama.
Ini bukan teori. Ini corak yang saya nampak berulang-ulang dalam kalangan usahawan.
Sebaliknya... Bila kemahuan jelas, strategi jadi mudah dibina. Keyakinan datang sendiri. Fokus tajam. Kemahiran cepat naik. Pelanggan gembira. Bisnes bertahan.
Kepentingan Fokus & Sains Otak Disebaliknya
Otak kita ada sistem yang dipanggil Reticular Activating System (saya alih bahasakan sebagai Sistem Pengaktifan Berjaring) atau saya panggil "radar otak." Ia bertindak seperti penapis, menyaring mana maklumat yang relevan dan mana yang tidak.
Contoh mudah: Bila anda baru beli kereta Perodua Myvi warna merah, tiba-tiba anda nampak Myvi merah di mana-mana. Adakah bilangan Myvi merah bertambah? Tidak. Radar anda yang berubah.
Begitu juga dengan bisnes. Bila kemahuan anda jelas, otak anda mula "nampak" peluang, idea, dan orang yang selari dengan hala tuju anda. Inilah yang dimaksudkan oleh pepatah lama: "The teacher will appear when the student is ready" (Si guru akan muncul bila si murid sudah bersedia).
Apabila saya sudah memilih kreativiti dan inovasi sebagai bidang saya, secara tiba-tiba semakin banyak buku, pakar, dan peluang yang "muncul" untuk membantu saya berkembang. Bukan sebab dunia berubah. Sebab radar saya dah di-setting semula.
Jadi Apa Kena Buat Sekarang?
Set radar anda dengan betul. Dan caranya adalah dengan mengenali kemahuan anda — bukan sekadar matlamat angka.
Bila tu jelas, strategi datang lebih mudah. Keputusan jadi lebih senang. Dan anda akan mula nampak jalan yang sebelum ni tersembunyi.
Seterusnya, kita akan bincang bagaimana anda boleh mula mengenalpasti kemahuan anda — bermula dengan satu perbezaan penting yang ramai usahawan terlepas pandang.
Cari Perjuangan, Bukan Sekadar Pekerjaan
Kita dah bincang apa itu kemahuan dan kenapa ia penting. Sekarang soalan yang lebih peribadi: bagaimana anda nak jumpa kemahuan anda sendiri?
Jawapannya bermula dengan satu perbezaan yang ramai orang terlepas pandang.
Pekerjaan. Kerjaya. Perjuangan.
Kebanyakan orang cari pekerjaan. Segelintir cari kerjaya. Malah, dalam konsep 'Cashflow Quadrant' membezakan individu yang 'Self-Employed' (bekerja untuk perniagaan diri sendiri) dan 'Business Owner' (memiliki perniagaan) kerana beza diantaranya pemilik bisnes dapat membina sistem yang menjamin motivasi dan prestasi. Dan usahawan yang dapat bertahan lama, mereka menggunakan perjuangan mereka sebagai sebahagian sistem kejayaan mereka.
Pekerjaan adalah apa yang anda buat dari Isnin ke Jumaat untuk bayar bil. Tiada salahnya. Tapi ia tidak akan bagi anda tenaga untuk bangun pagi dengan semangat, melainkan anda mempunyai insentif yang kuat.
Kerjaya adalah pekerjaan di mana anda boleh berkembang. Lebih baik tapi masih bergantung pada faktor luar. Syarikat boleh buang anda. Ekonomi boleh berubah. Tapi sekurang-kurangnya motivasi anda akan tahan lebih lama.
Perjuangan adalah misi yang lebih besar dari diri anda sendiri. Sesuatu yang anda kejar walaupun tiada siapa yang bayar anda. Sesuatu yang buat anda rasa 'hidup' walaupun keadaan susah.
Tapi Bukankah Minat Tak Boleh Bawa Makan?
Sekarang, saya tahu apa yang ada dalam kepala anda. "Minat? Seronok cakap pasal minat. Tapi minat tak boleh bayar sewa."
Dan anda tidak salah. Saya pun pernah fikir benda yang sama.
Tapi saya tidak cakap ikut minat semata-mata. Saya cakap tentang sesuatu yang lebih dalam: perjuangan.
Bezanya begini. Minat adalah apa yang anda suka buat bila ada masa lapang. Perjuangan adalah apa yang anda sanggup korbankan masa tidur untuknya. Minat boleh pudar bila keadaan susah. Perjuangan makin kuat bila keadaan mencabar.
Dan ini yang paling penting: perjuangan yang betul ada pasaran. Ia bukan sekadar benda yang anda suka. Ia adalah sesuatu yang anda suka, anda mahir, dan dunia perlukan. Pertemuan tiga perkara itu — itulah di mana untung yang sebenar datang. Kerana perjuangan yang betul tidak bersifat individu. Jika you ada perjuangan, kemungkinan besar ada orang lain yang mempunyai perjuangan yang sama. Mereka inilah berpotensi jadi pelanggan atau rakan kolaborasi.
Jadi dilema "minat vs untung" itu sebenarnya soalan yang salah. Soalan yang betul adalah: "Bagaimana saya nak cari titik pertemuan antara apa yang saya cintai dan apa yang orang sanggup bayar?"
Kisah berikut akan tunjukkan bagaimana ia boleh berlaku dalam kehidupan sebenar.
Kisah Amin — Basikal, Bukan Sekadar Hobi
Saya kenal seorang usahawan, Amin (bukan nama sebenar). Bertahun-tahun dia bekerja dalam bidang IT. Pendapatan okay, kerja stabil. Dari luar, semua nampak baik.
Tapi setiap hujung minggu, dia akan keluarkan basikalnya dan kayuh berjam-jam. Itu satu-satunya masa dia rasa benar-benar hidup.
Suatu hari dia tanya diri sendiri: "Kenapa saya tak bina sesuatu di sekeliling benda yang buat saya rasa hidup ni? Kenapa tak bina kesedaran terhadap khasiat sukan berbasikal?"
Tapi dia tidak terus berhenti kerja dan buka kedai basikal. Dia tidak bertaruh semua. Sebaliknya dia mulakan kecil — jadi jurulatih berbasikal hujung minggu, sambil masih bekerja. Dia eksperimen. Dia uji. Dia perhatikan siapa yang datang, apa yang mereka perlukan, berapa yang mereka sanggup bayar.
Lama-kelamaan, komuniti berkembang, ahli komuniti mula minta peralatan dan kelengkapan berbasikal. Permintaan datang dengan sendirinya. Amin membuka sebuah kedai basikal. Bisnes dibina bukan atas dasar minat semata-mata, tapi atas dasar perjuangan yang ada pasaran.
Amin tidak pilih minat atau untung. Dia cari titik pertemuan antara keduanya. Dan di situlah bisnesnya bermula.
Hidup anda adalah projek kreatif terbesar anda. Curahkan usaha terbesar anda di sana.
Jadi, Apa Perjuangan Anda?
Soalan ini mungkin tidak ada jawapan serta-merta. Dan itu okey.
Tapi cuba ini sekarang. Tanya diri sendiri tiga soalan:
Bila anda lakukan sesuatu dan terlupa masa berlalu, apa yang anda sedang buat?
Masalah apa dalam dunia ini yang buat anda rasa marah atau sedih bila anda nampak ia berlaku?
Kalau duit bukan isu, apa yang anda akan buat setiap hari?
Tiga jawapan itu, di situlah perjuangan anda bersembunyi.
Dalam bahagian seterusnya, kita akan gunakan satu alat yang lebih sistematik untuk bantu anda kenalpasti kemahuan ini dengan lebih mendalam. Ia dipanggil Formula FLOWER.
Formula FLOWER — Peta Kemahuan Hidup Anda
Kita dah bincang tentang kemahuan, tentang perjuangan, tentang perbezaan antara minat dan misi. Tapi mungkin anda masih tertanya-tanya: "Macam mana nak jumpa semua itu dalam diri saya sendiri?"
Sebelum itu kita kena kenal pasti apa yang kita nak buat dengan hidup kita dan jenis perniagaan yang anda mahu lakukan dahulu. Dan perkara-perkara yang bertindih diantara dua perkara tersebut adalah Perjuangan Hidup & Perniagaan anda. Bagaimana nak kenal pasti apakah yang kita nak buat dengan hidup kita? Jawapannya ada dalam Formula FLOWER.
FLOWER bukan sekadar akronim. Ia adalah peta untuk membantu anda melihat kehidupan anda secara menyeluruh, supaya bisnes yang anda bina nanti tidak bercanggah dengan hidup yang anda impikan.
Ramai usahawan buat kesilapan ini: mereka bina bisnes tanpa memikirkan hidup yang mereka mahu. Hasilnya, bisnes berjaya tapi hidup tidak seimbang. Duit ada, tapi keluarga terabai. Syarikat berkembang, tapi kesihatan merosot. Kaya dari segi wang, tapi miskin dari segi makna.
FLOWER membantu anda elakkan perangkap itu dengan memastikan bisnes anda dibina di atas asas kehidupan yang anda benar-benar mahukan.
F — Family (Keluarga)
Mulakan dengan yang paling dekat dengan hati anda. Bagaimana rupa kehidupan keluarga impian anda? Berapa ramai anak yang anda mahukan? Bagaimana hubungan anda dengan pasangan, ibu bapa, adik-beradik? Adakah anda mahu tinggal berdekatan dengan keluarga, atau anda selesa dengan kehidupan yang lebih bebas?
Ini bukan soalan yang ada jawapan betul atau salah. Ia soalan tentang kejujuran diri sendiri. Kerana apabila anda jelas tentang gambaran keluarga yang anda mahu, anda akan tahu jenis bisnes apa yang sesuai, sama ada bisnes yang memerlukan perjalanan kerap, atau bisnes yang membenarkan anda berada di rumah setiap malam.
Soalan untuk anda
Bagaimana rupa keluarga impian anda? Siapa yang ada dalam gambar itu, dan apa peranan anda dalam kehidupan mereka?
L — Leisure (Hobi & Minat)
Apa yang anda lakukan bila tiada siapa yang memerlukan anda? Hobi, minat, aktiviti yang anda sanggup bayar dan luangkan masa untuknya. Contohnya, berbasikal, melukis, memasak, mengembara, membaca. Semua ini bukan sekadar hiburan. Ia petunjuk tentang siapa anda sebenarnya.
Dan lebih penting, ada usahawan yang berjaya menukar hobi mereka menjadi bisnes yang menguntungkan. Ingat kisah Amin yang kita bincangkan tadi? Basikalnya bukan sekadar hobi. Ia petanda kemahuan yang menunggu untuk ditemui.
Soalan untuk anda
Apakah aktiviti yang anda lakukan dengan gembira walaupun tiada siapa yang bayar anda? Apakah yang anda sanggup buat walaupun penat?
O — Occupation (Pekerjaan/Kerjaya)
Apakah jawatan impian anda? CEO? Pendidik? Pakar industri? Usahawan bebas? Ini bukan tentang jawatan semata-mata — ia tentang peranan yang anda mahu mainkan dalam dunia profesional anda. Dalam industri apa anda mahu dikenali? Adakah anda sudah berada dalam bidang yang betul, atau anda masih dalam perjalanan untuk sampai ke sana?
Kejelasan tentang perjalanan kerjaya anda akan membantu anda buat keputusan yang lebih tepat, sama ada untuk kekal dalam kerjaya semasa, tukar bidang, atau bina bisnes yang menyokong peranan impian anda.
Soalan untuk anda
Jika anda boleh pilih satu peranan profesional untuk dimainkan selama 10 tahun akan datang, apakah ia? Dan apakah jurang antara posisi anda sekarang dengan posisi itu?
W — Wealth (Kekayaan)
Berapa banyak yang cukup untuk anda? Ini soalan yang ramai orang elak, tapi ia penting. Berapa pendapatan bulanan yang anda perlukan untuk hidup selesa? Apakah jenis rumah yang anda impikan? Kereta? Simpanan persaraan? Adakah anda mahu meninggalkan warisan kewangan untuk anak cucu?
Kejelasan tentang wealth bukan tentang kerakusan, ia tentang memastikan bisnes anda direka untuk mencapai kehidupan kewangan yang anda perlukan, bukan sekadar "buat duit sebanyak mungkin" tanpa arah yang jelas.
Soalan untuk anda
Apakah angka kewangan yang akan buat anda rasa selamat dan bebas? Dan apakah yang anda mahu lakukan dengan kekayaan itu?
E — Education / Entrepreneurship (Pendidikan / Keusahawanan)
Adakah anda mahu terus belajar secara formal — diploma, ijazah, sarjana, doktor falsafah? Atau hala tuju anda lebih kepada keusahawanan — membina bisnes sendiri, membeli francais, atau menceburi pelaburan?
Kedua-duanya sah. Yang penting anda tahu mana satu selari dengan kemahuan dan gaya hidup anda. Kerana pilihan ini akan menentukan bagaimana anda melabur masa, wang, dan tenaga anda dalam 5 hingga 10 tahun akan datang.
Soalan untuk anda
Apakah pelaburan terbesar yang anda mahu buat dalam diri sendiri — dalam bentuk ilmu, kemahiran, atau bisnes?
R — Religion / Spirituality (Agama / Kerohanian)
Apakah matlamat kerohanian anda? Adakah anda mahu menunaikan haji atau umrah? Mahu lebih konsisten dalam ibadah harian? Atau mungkin anda mahu mencari keseimbangan antara mengejar dunia dan mengejar akhirat?
Bisnes yang dibina tanpa pertimbangan kerohanian sering kali kehilangan arah apabila cabaran datang. Tapi bisnes yang dibina di atas nilai dan tujuan yang lebih besar, ia ada daya tahan yang luar biasa.
Soalan untuk anda
Apakah matlamat kerohanian anda, dan bagaimana bisnes yang anda bina boleh menyokong — dan bukan menghalang — perjalanan kerohanian anda?
Aplikasi FLOWER: Dimana Hidup Bertemu Bisnes
Selepas anda jawab semua soalan di atas, anda akan nampak satu gambaran yang lebih jelas tentang hidup yang anda impikan.
Dan dari gambaran itulah bisnes impian anda perlu dibina.
Bisnes yang betul bukan bisnes yang paling menguntungkan semata-mata. Bisnes yang betul adalah bisnes yang membantu anda capai kehidupan impian anda: mempunyai keluarga yang anda impikan, melakukan hobi yang anda nikmati, mempunyai kerjaya yang bermakna, memiliki kekayaan yang mencukupi, dan kerohanian yang terjaga.
Dalam bahagian seterusnya, kita akan lihat bagaimana anda boleh mula mencari bisnes yang sesuai untuk anda lakukan.
Mencari Perjuangan Perniagaan Anda: Kenali CUS
Selepas anda siapkan FLOWER, anda dah ada gambaran hidup impian anda. Sekarang soalannya, bagaimana nak pastikan bisnes yang anda akan bina selari dengan gambaran itu?
Dalam bab-bab seterusnya, saya akan perkenalkan satu rangka kerja yang saya panggil CUSTMR iaitu enam komponen asas yang akan membantu anda perniagaan anda secara sistematik:
C — Customer (Pelanggan)
U — Underlying Problem (Masalah Sebenar)
S — Solution (Penyelesaian)
T — Trust (Kepercayaan)
M — Marketing (Pemasaran)
R — Result (Hasil)
Kita tidak akan kupas semua enam sekarang. Buat masa ini, tiga elemen pertama iaitu CUS sudah cukup untuk bantu anda kenalpasti perniagaan anda yang seterusnya. Tiga elemen seterusnya akan kita terokai dalam bab-bab akan datang apabila anda dah bersedia untuk perhalusi dan uji idea anda.
Jadi mari kita mulakan dengan soalan paling asas dalam mana-mana bisnes...
C — Customer: Siapa Yang Anda Mahu Bantu?
Berdasarkan FLOWER anda, siapakah orang yang paling natural untuk anda bantu?
Ini bukan tentang siapa yang paling ramai atau siapa yang paling kaya. Ini tentang siapa yang paling dekat dengan kemahuan dan perjuangan hidup anda.
Contohnya, Amin yang kita bincangkan tadi, selepas dia kenal pasti bahawa hobi dia adalah berbasikal dan kerja dia adalah sebagai jurulatih, pelanggan yang paling natural untuknya adalah orang yang mahu hidup lebih aktif melalui berbasikal. Bukan semua orang. Bukan sesiapa sahaja. Tapi golongan spesifik yang selari dengan perjuangannya.
Semakin jelas pelanggan anda, semakin mudah semua keputusan bisnes anda, dari produk, kepada harga, kepada cara anda berkomunikasi dengan mereka.
Soalan untuk anda
Berdasarkan FLOWER anda, siapakah satu golongan manusia yang paling natural untuk anda bantu? Gambarkan mereka dengan spesifik — umur, situasi hidup, cabaran yang mereka hadapi.
U — Underlying Problem: Masalah Sebenar Mereka Apa?
Ini bahagian yang paling ramai usahawan terlepas pandang.
Pelanggan sering tidak tahu atau tidak mampu nyatakan masalah sebenar mereka. Mereka cakap apa yang mereka rasa, bukan apa yang mereka perlukan. Tugas anda adalah menggali lebih dalam untuk jumpa masalah yang sebenar yang tersembunyi di bawah permukaan.
Contohnya, pelanggan Amin tidak datang kepadanya dan berkata "saya ada masalah gaya hidup tidak aktif." Mereka datang dan berkata "saya nak belajar berbasikal" atau "saya nak join komuniti berbasikal." Tapi masalah sebenar disebalik semua itu adalah mereka kesepian, mereka tidak sihat, atau mereka mahu rasa hidup yang lebih bermakna.
Amin yang faham 'underlying problem' (isu sebenar) ini akan membina komuniti — bukan sekadar kelas berbasikal. Dan itulah yang membuat bisnesnya berkembang.
Soalan untuk anda
Di sebalik apa yang pelanggan anda cakap mereka mahukan, apakah masalah sebenar yang mereka cuba selesaikan? Apakah yang mereka rasa tapi tidak mampu luahkan?
S — Solution: Apa Yang Anda Boleh Tawarkan?
Sekarang, di sinilah perjuangan hidup anda bertemu dengan keperluan pelanggan anda.
Solution bukan sekadar produk atau perkhidmatan. Ia adalah jawapan anda kepada underlying problem pelanggan anda menggunakan kemahiran, pengalaman, dan kemahuan yang anda temui melalui FLOWER.
Soalan penting di sini: adakah solution anda betul-betul menyelesaikan underlying problem, atau ia hanya menyelesaikan simptom yang nampak di permukaan?
Amin tidak jual basikal semata-mata. Dia jual komuniti, kesihatan, dan semangat kekeluargaan. Itulah 'solution' yang menjawab 'underlying problem' — bukan sekadar kehendak basic je.
Dan perhatikan ini, solusi Amin lahir dari pertindihan antara hobi dan pekerjaan beliau dalam FLOWER dia. Bukan dari analisis pasaran yang kompleks. Bukan dari MBA. Dari kenal diri sendiri dengan jujur.
Soalan untuk anda
Berdasarkan kemahuan dan kemahiran anda, apakah solution yang hanya anda boleh tawarkan dengan cara yang unik? Apakah yang anda boleh beri yang orang lain tidak boleh beri dengan cara yang sama?
Titik Pertindihan: Di Sinilah Perjuangan Perniagaan Anda Lahir
Apabila anda dah jawab CUS dengan jelas, anda akan nampak sesuatu yang menarik.
Pelanggan yang anda pilih selari dengan nilai hidup anda dari FLOWER. Masalah yang anda selesaikan adalah masalah yang anda sendiri pernah rasa atau ambil berat. Dan solusi yang anda tawarkan lahir dari kemahuan dan kemahiran yang anda dah ada.
Itulah titik pertindihan. Itulah perjuangan perniagaan anda.
Bisnes yang lahir dari titik pertindihan ini bukan sekadar bisnes yang menguntungkan. Ia bisnes yang tahan lama kerana ia dibina di atas sesuatu yang lebih besar dari sekadar peluang pasaran.
Rajah Venn "Matlamat Hidup & Matlamat Bisnes" — akan ada didalam versi cetakan fizikal.
Anda dah tahu apa yang anda mahukan. Anda dah kenal pasti siapa yang anda mahu bantu dan masalah apa yang anda mahu selesaikan. Tapi kemahuan sahaja tidak cukup — ia perlu disokong oleh pemahaman yang mendalam tentang pelanggan anda.
Dan di sinilah ramai usahawan tersalah langkah, termasuk saya sendiri.
Ingat kisah kad loyalti yang saya sebut di Bab 1? Saya ada kemahuan yang kuat. Saya ada idea yang saya percaya adalah bagus, bahkan saya sanggup berhenti kerja untuk menjadikannya realiti. Tapi ada satu perkara besar yang saya terlepas pandang, dan kesilapan itu hampir menghancurkan segalanya.
Dalam bab seterusnya, saya akan kongsikan apa yang sebenarnya berlaku. Dan dari kisah itu, kita akan belajar cara membuat research yang betul — bukan sekadar Google, bukan sekadar andaian, tapi cara seorang usahawan inovatif benar-benar memahami pelanggan mereka.
Jom kita mulakan.
Latihan Refleksi: Temui Perjuangan Perniagaan Anda
Anda dah sampai ke penghujung bab ini. Tahniah.
Tapi membaca sahaja tidak cukup. Bab ini hanya akan memberi nilai sebenar apabila anda duduk, ambil pen, dan jawab soalan-soalan di bawah dengan jujur.
Tiada jawapan yang betul atau salah di sini. Yang penting adalah kejujuran anda kepada diri sendiri. Luangkan masa sekurang-kurangnya 30 minit untuk latihan ini.
F — Family (Keluarga)
Bagaimana rupa keluarga impian anda? Siapa yang ada dalam gambar itu, dan apakah peranan anda dalam kehidupan mereka?
Contoh: Saya mahu ada masa berkualiti dengan anak-anak setiap malam. Saya mahu hadir dalam setiap detik penting kehidupan mereka.
L — Leisure (Masa Lapang)
Apakah aktiviti yang anda lakukan dengan gembira walaupun tiada siapa yang bayar anda? Apakah yang anda sanggup buat walaupun penat?
Contoh: Saya suka memasak untuk orang ramai. Saya boleh buat berjam-jam tanpa rasa penat.
O — Occupation (Pekerjaan/Kerjaya)
Jika anda boleh pilih satu peranan profesional untuk dimainkan selama 10 tahun akan datang, apakah ia? Dan apakah jurang antara posisi anda sekarang dengan posisi itu?
Contoh: Saya mahu menjadi pakar pemakanan yang diiktiraf. Sekarang saya masih bekerja dalam bidang kewangan.
W — Wealth (Kekayaan)
Apakah angka kewangan yang akan buat anda rasa selamat dan bebas? Apakah yang anda mahu lakukan dengan kekayaan itu?
Contoh: Saya mahu pendapatan RM15,000 sebulan supaya saya boleh bersara awal dan melancong bersama keluarga dua kali setahun.
E — Education / Entrepreneurship (Pendidikan / Keusahawanan)
Apakah pelaburan terbesar yang anda mahu buat dalam diri sendiri — dalam bentuk ilmu, kemahiran, atau bisnes?
Contoh: Saya mahu bina bisnes dalam bidang pendidikan kanak-kanak. Saya tidak berminat sambung belajar secara formal.
R — Religion / Spirituality (Agama / Kerohanian)
Apakah matlamat kerohanian anda, dan bagaimana bisnes yang anda bina boleh menyokong — bukan menghalang — perjalanan kerohanian anda?
Contoh: Saya mahu menunaikan haji dalam masa lima tahun. Saya mahu bisnes saya memberi saya kebebasan masa untuk fokus kepada ibadah.
Bahagian B: Kenal Pasti Perniagaan Anda — CUS
Berdasarkan jawapan FLOWER anda di atas, jawab tiga soalan berikut. Ini adalah asas perjuangan perniagaan anda.
C — Customer: Siapa Yang Anda Mahu Bantu?
Berdasarkan FLOWER anda, siapakah golongan manusia yang paling natural untuk anda bantu? Gambarkan mereka dengan spesifik.
Contoh: Ibu bapa muda berusia 25-35 tahun yang mahu anak mereka membesar dengan pemakanan sihat tapi tidak tahu dari mana nak mulakan.
U — Underlying Problem: Masalah Sebenar Mereka Apa?
Di sebalik apa yang pelanggan anda cakap mereka mahu — apakah masalah sebenar yang mereka cuba selesaikan?
Contoh: Mereka bukan sekadar mahu resepi sihat. Mereka rasa bersalah kerana tidak memberi yang terbaik untuk anak mereka. Mereka mahu rasa yakin sebagai ibu bapa.
S — Solution: Apa Yang Anda Boleh Tawarkan?
Berdasarkan kemahuan dan kemahiran anda, apakah solution yang hanya anda boleh tawarkan dengan cara yang unik?
Contoh: Saya akan bina platform mudah yang ajar ibu bapa cara masak makanan bayi berkhasiat dalam masa 15 minit — berdasarkan pengalaman saya sendiri sebagai ibu dan pakar pemakanan.
Penutup Latihan
Tahniah. Anda baru sahaja melakukan sesuatu yang kebanyakan orang tidak pernah buat — duduk dan berfikir dengan jujur tentang hidup dan bisnes yang anda benar-benar mahukan. Berdasarkan apa yang anda tuliskan di atas, apakah jenis perniagaan yang boleh membantu anda mencapai matlamat-matlamat anda? Fikirkan.
Jawapan anda mungkin belum sempurna. Mungkin masih kabur di sana sini. Itu normal. Yang penting, anda dah mulakan.
Simpan jawapan ini. Kita akan rujuk semula dalam bab-bab seterusnya apabila kita mula uji idea anda.
Satu perkara terakhir sebelum anda ke bab seterusnya, tulis satu ayat yang meringkaskan perjuangan perniagaan anda berdasarkan CUS anda:
"Saya mahu bantu (customer/pelanggan) _________________ yang menghadapi masalah (underlying problem/isu sebenar) _________________ dengan menawarkan (solution/solusi) _________________."
Ayat ini adalah kompas anda. Pegang ia erat-erat.
Kerana dalam bab seterusnya, kita akan uji kompas itu. Anda dah tahu apa yang anda mahukan. Anda dah kenal pasti siapa yang anda mahu bantu dan masalah apa yang anda mahu selesaikan. Tapi kemahuan sahaja tidak cukup — ia perlu disokong oleh pemahaman yang mendalam tentang pelanggan anda.
Dan di sinilah ramai usahawan tersalah langkah, termasuk saya sendiri.
Ingat kisah kad loyalti yang saya sebut di Bab 1? Saya ada kemahuan yang kuat. Saya ada idea yang saya percaya adalah bagus, bahkan saya sanggup berhenti kerja untuk menjadikannya realiti. Tapi ada satu perkara besar yang saya terlepas pandang, dan kesilapan itu hampir menghancurkan segalanya.
Dalam bab seterusnya, saya akan kongsikan apa yang sebenarnya berlaku. Dan dari kisah itu, kita akan belajar cara membuat research yang betul, bukan sekadar Google, bukan sekadar andaian, tapi cara seorang usahawan inovatif benar-benar memahami pelanggan mereka.
Jom kita mulakan.
Dah habis baca 3 bab ni? Terima kasih banyak-banyak sebab luangkan masa. Saya betul-betul nak dengar pendapat anda.
Dah bagi feedback dan rasa buku ni memang untuk anda? Kalau anda dah bersedia nak tempah awal, boleh terus WhatsApp saya, saya sendiri yang akan balas.